Artikel


Nikah di Thai mudah, murah


Ishak Mohamad menemu duga sepasang rakyat Malaysia yang akan nikah di Majlis Agama Islam Narathiwat, Thailand, baru-baru ini.
- Gambar ROSNI MASRI





PENGKALAN KUBOR 24 Ogos - Ramai membayangkan bahawa bernikah di selatan Thailand menelan belanja beribu-ribu ringgit kerana kononnya perlu melibatkan peranan orang tengah atau sindiket bagi mengatur proses itu.

Sememangnya pasangan yang menyeberang sempadan bersedia untuk berbelanja asalkan tiada lagi halangan yang akan merencatkan atau menggagalkan hasrat mereka. Mereka ini biasanya bersedia untuk menjalani upacara pernikahan di mana sahaja, biarpun mungkin di bangsal.

Hakikatnya, selepas perjalanan kira-kira 30 minit dari sempadan untuk ke pejabat Majlis Agama Islam Narathiwat (MAIN) dengan membawa bersama dua saksi, mereka cuma perlu membayar RM350 bagi dilangsungkan akad nikah yang dilakukan dengan tertib tanpa risiko diperdayakan.

Pendaftar Nikah MAIN, Ishak Mohamad berkata, di MAIN, prosedurnya mudah dan kosnya juga rendah tetapi ramai yang dikatakan menjadi mangsa kerana mereka terdesak dan tidak berpengetahuan bagi menguruskannya sendiri.

"Ramai yang ditipu oleh sindiket, sekiranya mereka berkahwin bukan melalui majlis agama di sini banyak masalah akan timbul seperti sijil perkahwinan palsu dan sukar untuk didaftarkan di negara masing-masing.

"Kita mempunyai wakil (jurunikah) di beberapa daerah dalam wilayah Narathiwat. Sekiranya mereka berkahwin menggunakan sindiket, MAIN tidak akan bertanggungjawab.

''Hanya pasangan yang berkahwin di sini (MAIN), rekod mereka disimpan sebagai rujukan yang sah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di MAIN baru-baru ini.

Tinjauan media Malaysia ketika tiba di pekarangan kompleks MAIN mendapati pejabatnya dikunjungi beberapa pasangan untuk melangsungkan pernikahan.

Malah terdapat sepasang suami isteri yang datang semula ke situ bagi mendapatkan sijil pernikahan mereka selepas berpuluh tahun kerana pasangan itu mengalami kesukaran untuk melangsungkan pernikahan anak mereka.

Pada pertemuan itu, pihak media turut berkesempatan melihat sendiri proses pernikahan poligami pasangan dari Malaysia berusia lingkungan 30-an, yang secara kebetulan berlangsung di pejabat itu.

Lelaki dari Selangor itu membawa pasangannya yang berasal dari Negeri Sembilan, menggunakan khidmat orang tengah dari Kelantan yang mengenakan bayaran kira-kira RM800.


Ia bagi membawa mereka ke Narathiwat secara rahsia, kerana bimbang perkahwinannya terbongkar jika memohon untuk berpoligami di Malaysia dan juga bagi memastikan keselamatan mereka agak terjamin di wilayah yang bergolak itu.

Sebelum dinikahkan, pasangan terbabit menjalani temu duga ringkas oleh Ishak, yang menjelaskan implikasi perkahwinan mereka di Narathiwat serta kesan serta tanggungjawab yang perlu dipikul pasangan terbabit ekoran poligami itu.

Ishak berkata, keterlanjuran dalam hubungan serta halangan keluarga kini menjadi punca utama pasangan dari Malaysia lari berkahwin di selatan Thailand, di samping hasrat berpoligami tanpa kebenaran isteri tua.
Katanya, kegagalan memenuhi keperluan hantaran, mas kahwin serta hadiah yang mahal pula, mendorong pasangan dari negara Arab datang berkahwin di pejabat itu.

"Ketika ini, purata setiap hari kami terima tiga pasangan luar negara datang bernikah di sini dengan majoriti pasangan dari Malaysia selain pasangan dari rantau Timur Tengah dan Rusia.

"Kami tidak menghadapi sebarang masalah menguruskan perkahwinan yang diharapkan pasangan terbabit, asalkan mereka memenuhi syarat ditetapkan, termasuk masuk ke Thailand menggunakan dokumen perjalanan yang sah serta mengisi borang yang disediakan untuk rekod



"Kegagalan memenuhi syarat ditetapkan, termasuk jika ada bakal pengantin bawah umur, kami akan menolak permintaan mereka. Saya pernah menghalau pasangan yang datang untuk berkahwin tetapi enggan mengisi borang seperti ditetapkan," katanya

Ishak menjelaskan, syarat yang dikenakan adalah mengikut hukum syarak dan enakmen undang-undang syariah di Malaysia menjadi rujukan pihaknya bagi melangsungkan perkahwinan.

Ujarnya, setiap bakal pengantin juga perlu mengisi borang khusus untuk rujukan mahkamah di negara masing-masing sekiranya mereka mahu mengesahkan perkahwinan.

"Kita di sini menguruskan pernikahan secara telus. Jika berkahwin di atas perahu atau di bawah pokok ia bukan diuruskan oleh MAIN. Ini semua kerja sindiket. Buku ini (enakmen undang-undang syariah Kelantan) menjadi rujukan untuk proses perkahwinan di sini.

"Semua pasangan perlu mengisi borang rujukan mahkamah di luar negara, jika mereka takut untuk mengisinya majlis akad nikah tidak akan diteruskan," katanya.

Bagi memudahkan urusan pernikahan; Pejabat Pendaftar Nikah MAIN dibuka pada setiap hari bermula dari pukul 10 pagi sehingga 3 petang waktu Malaysia dan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan boleh datang terus ke pejabat tersebut.